Subscribe to Zinmag Tribune
Subscribe to Zinmag Tribune
Subscribe to Zinmag Tribune by mail

MAHASISWA JANGAN LUPA ISU UMAT SEDUNIA

12:44 AM Posted by Mohd Idris Bin Mohd Yussoff,
Walaupun mahasiswa masih dibelenggu isu sekitar perjuangan kemahasiswaan di kampus, isu umat tidak sewajarnya disejukkan. Saya tidak nafikan, pelbagai ujian sedang melanda gerakan mahasiswa hari ini namun, ianya bukan satu halangan untuk kita melupakan isu sekitar yang melanda umat di serata dunia. Paling menyedihkan, jika mentaliti mahasiswa masih terbelenggu dengan pemikiran bahawa zaman mahasiswa hanya perlu menumpukan akitiviti bilik kuliah semata-mata. ”Belajar dulu, lepas belajar, engkau nak terlibat apa pun tak pe...”.


Isu Selatan Thailand. Di mana suara mahasiswa?


Sudah ada kedengaran suara-suara mahasiswa namun ianya belum memberikan satu momentum yang besar untuk menyedarkan masyarakat dan sebagai preasure group. Masih banyak kisah-kisah sebenar yang digelapkan media kepada masyarakat. Maka suara mahasiswa sebagai elemen sedar masyarakat perlu diperkasakan. Isu selatan Thailand bukan sekadar pembunuhan di Masjid Kerisek, Tak Bai serta pembunuhan melampau di Masjid Furqan pada 8 Jun 2009 baru-baru ini. Masih banyak pembunuhan demi pembunuhan di sana yang disembunyikan. Ada di kalangan guru-guru agama yang hilang begitu sahaja entah ke mana.

Kuasa media seolah-olah menyebabkan pandang sisi stereotaip masyarakat dunia kepada masyarakat Islam di selatan Thai sebagai masyarakat yang ganas dan merekalah punca kepada peristiwa berdarah yang berlaku saban hari.

Peristiwa yang berlaku pada hari ini adalah rentetan usaha terancang sebagai ”usaha pembersihan” umat Islam di selatan Thailand. Sejak Pattani dijajah pada 1785, pelbagai usaha dilakukan. Penghapusan Pemerintahan Beraja Melayu serta Perjanjian Bangkok 1902 menambah barah apabila British mengiktiraf Siam menaungi negeri-negeri Melayu utara.

1 November 1945, mereka pernah merayu kepada British untuk bebas dari penjajahan Siam namun, rayuan hanya tinggal rayuan. Tuan Guru Haji Sulung pernah membuat beberapa tuntutan demi kesejahteraan Pattani, namun cadangannya ditolak bahkan dia didakwa dan dipenjarakan. Pada 1954, beliau telah ”hilang” dipercayai dibunuh oleh pihak Siam sebagaimana taktik sama yang dilakukan pada hari ini.

Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk memohon dari PBB untuk menyelesaikan isu ini melaui rundingan, namun ianya seolah-olah dipandang sepi. Pihak PULO juga pernah mengajak Dr. Mahathir Mohamad pada 11 Jun 1982 untuk mengambil berat serta mencari jalan penyelesaian kepada isu di selatan Thailand. Persoalannya di sini, apa pendirian dan bantuan Malaysia hari ini?


Jika tahun lalu, beribu-ribu mahasiswa turun beramai-ramai ke kedutaan Mesir membantah dan mengutuk tindakan kejam Hosni Mubarak yang menutup sempadan sehingga menyebabkan bantuan kemanusiaan tersekat. Jika Malaysia masih tidak mengambil apa-apa tindakan serius terhadap isu ini, mungkin rakyat seluruh dunia pula akan bangkit mengutuk Malaysia yang seolah-olah membutakan mata dan membisukan bisu dalam isu selatan Thailand ini. Jangan disebabkan terlalu bermain-main dengan krisis politik kita melupakan isu jiran terdekat kita.


Penindasan terhadap saudara-saudara kita di Palestin begitu mendapat simpati yang baik dari seluruh masyarakat termasuk NGO-NGO yang begitu aktif dalam isu tersebut. Namun, di mana NGO-NGO dalam memperjuangkan isu selatan Thaland ini? Apakah aqidah mereka tidak sama dengan masyarakat Palestin? Begitu juga mahasiswa. Apakah mahasiswa sedang menanti kenyataan Menteri Pengajian Tinggi untuk ”menghalalkan” bantahan terhadap Thailand sebagaimana bantahan terhadap Zionis tahun lalu? Apa tindakan kita?

Isu ketegangan etnik di Xinjiang pula bagaimana?



Nah, isu yang masih panas sehari dua ini berkaitan ketegangan etnik Han dan minoriti Muslim Uighur, apa pula kata mahasiswa? Ketegangan etnik yang sehingga kini menyebabkan kematian lebih kurang 156 terkorban dan lebih 1000 orang dilaporkan cedera ini adalah isu serius. Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa bahawa mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti Han.

Apakah masih ada mahasiswa yang tidak tahu? ”Tak Pe, belajar dulu, buat dulu assighment. Lepas ni la....” Apakah hujah ini masih diguna pakai oleh mahasiswa?


Mahasiswa adalah pemimpin masa akan datang. Ya, belajar di bilik-bilik kuliah adalah untuk masa depan yang lebih gemilang namun ianya belum mencukupi sebagai survival mahasiswa untuk bermasyarakat dan memimpin dunia. Benarlah kata-kata Bapak Natsir :


“Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul ditengah-tengah kumpulan masalah, menonjol dikalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didokong oleh umat”


You can leave a response, or trackback from your own site.

0 Response to "MAHASISWA JANGAN LUPA ISU UMAT SEDUNIA"

featured-video